Monday, November 1, 2010

Manusia yang didoakan oleh Malaikat.

Manusia yang didoakan oleh malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.
Allah SWT berfirman"Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah- Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka dan yang dibelakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa'at melainkan kepada orang - orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya."(Surah Al Anbiyaa', ayat 26-28)
Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.


Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci." (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'" (Sahih Muslim no. 469)

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra' bin 'Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan." (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Para Imam yaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf-saf."(hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
 Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Jika seorang imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn'...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), maka ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu." (Shahih Bukhari no. 782)

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
 Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu'nya, (para malaikat) berkata, 'Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.'" (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir menshahihkan hadis ini)

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawaRasulullah SAW bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'" (Al Musnad no. 9140, hadis ini dishahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda' r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan..'" (Shahih Muslim no. 2733)

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak. Dan lainnya berkata, 'Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit.'" (Shahih Bukhari no. 1442 dan Shahih Muslim no. 1010)

10. Orang yang sedang makan sahur.
Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur." (hadis ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Imam Ahmad meriwayatkan dari 'Ali bin Abi Thalib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."(Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, "Sanadnya shahih")

12. Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya bershalawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain." (disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343)

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat.
Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.Semoga dgn sedikit info ini dpt membantu antum semua..INSYAALLAH..
kekalkan momentum kita semua..semoga kita semua lbh istiqamah.
Sumber : Shukur.Org
Related Posts with Thumbnails

My Entry Tags...

Tazkirah (39) Mine (25) Info (8) My Song (8) Cinta (6) Lawak (3) hobi (3) Masak (2) Movie Review (2)